Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rusuhan penjara ragut 57 nyawa

    RIO DE JANEIRO, 30 JULAI – Sekurang-kurangnya 57 banduan terbunuh dalam satu rusuhan penjara di utara Brazil hari ini tatkala puak geng bermusuhan bertempur sesama sendiri, kata pegawai.

    Enam belas mangsa korban dipenggal kepala dalam letusan keganasan kedua yang melanda sistem penjara yang amat sesak dalam beberapa bulan.

    Pertempuran meletus di Pusat Pemulihan Serantau Altamira pada kira-kira pukul 7:00 pagi, beritahu pegawai daripada jabatan penjara kerajaan kepada AFP.

    Dua pengawal dijadikan tebusan ketika pertempuran berlangsung berjam-jam lamanya, yang berjaya dikawal pada tengah hari. Pengawal dibebaskan selepas itu.

    Stesen TV Brazil menunjukkan gambar asap tebal hitam berkepul-kepul naik dari perkarangan penjara dan orang duduk di atas bumbung sebuah bangunan. “Kemungkinan ramai tahanan mati lemas akibat asap,” kata pegawai kerajaan.

    Tidak ada senjata api yang ditemui di tempat kejadian, namun pisau yang diubahsuai nampaknya telah digunakan dalam pergelutan, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh jabatan penjara.

    Beberapa mayat masih belum ditemui disebabkan bahang panas dalam beberapa struktur penjara. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda