BIDUANITA yang mempunyai pengaruh besar di Nusantara, Ruth Sahanaya masih lagi hebat di atas pentas.
Usia mencecah 51 tahun tidak menghalangnya memberikan persembahan terbaik buat peminat dalam persembahannya di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC, baru-baru ini.
Persembahannya sangat istimewa memandangkan ini kali pertama penyanyi Indonesia diberi peluang menghiburkan peminatnya secara solo di dewan berprestij itu.
“Dalam merancang persembahan di DFP, sudah tentu saya memilih senarai lagu yang sesuai dengan tempat.
“Apatah lagi selain pemuzik yang saya bawa dari Indonesia, saya juga bekerjasama dengan MPO.

“Dalam membentuk persembahan supaya dapat dinikmati peminat, saya menilai setiap lagu yang mahu didendangkan adakah dengan susunan semula ia mampu mempengaruhi emosi,” katanya.
Menilai keseluruhan susunan lagu yang didendangkan pada malam itu, ternyata Ruth dan pengurusannya bijak bermain dengan repertoir bagi membina ‘rasa’ buat peminat setia yang tahu hampir keseluruhan lagu didendangkan.
Memulakan persembahan dengan lagu Pesta dan Selamanya, Ruth membawa peminat mengimbau sejarah kemunculannya dalam industri muzik di tanah kelahirannya.
Dalam kesempatan itu, penyanyi yang memulakan kerjaya nyanyian pada 1987 dengan album Seputih Kasih turut mempromosikan lagu dari album terbaru iaitu Rinduku.

