Thursday, July 17, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rutin masyarakat Islam Nepal di bulan Ramadan

    Oleh Helen Thu

     

    SERING KALI apabila disebut Nepal, kita terus terbayang akan gunung tertinggi di dunia iaitu Everest, kehebatan askar Gurkha yang taat dan gagah serta kuil-kuil Hindu.

    Ada beberapa orang teman saya yang menyangka bahawa tiada penduduk di negara tersebut yang beragama Islam, jika ada pun hanyalah pelancong dan mereka yang berkhidmat di kedutaan atau suruhanjaya tinggi.

    Sebetulnya memang terdapat penganut Agama Islam di Nepal walaupun jumlahnya tidaklah begitu besar.

    Semasa kunjungan saya yang lalu ke Nepal, saya telah menemui beberapa orang penduduk yang beragama Islam dan sempat menemu bual mereka.

    Antaranya ialah Sajid Ali dan Mohd Yunos Guna, kedua duanya dalam lingkungan usia 20an dan lahir di Nepal.

    Penulis bersama Sajid dan Mohd Yunos di Thamel, kawasan pelancongan di Nepal.

    Menurut sejarah, Islam dibawa masuk ke Nepal oleh kaum India beratus tahun dahulu dan mereka terus bermastautin di sana. Sehingga ke hari ini kaum minoriti Islam tinggal dalam keadaan harmoni dengan penganut ugama lain seperti Hindu dan Buddha.

    Sajid dan Mohd Yunos bekerja sebagai pelukis grafik dan tinggal di Kathmandu bersama keluarga mereka. Saya telah menemui mereka di kawasan Thamel, iaitu kawasan yang jadi tumpuan para pelancong.

    Di sini juga terdapat beberapa buah restoran yang menyediakan makanan halal.

    Penyembelihan yang halal

    Bekalan daging halal juga mudah diperolehi sebab adanya tempat penyembelihan. Tidak jauh dari kawasan tersebut terdapat sebuah masjid. Masjid tersebut turut mengadakan Kelas Al-Quran bagi kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke atas, menurut Sajid lagi kepada penulis.

    Penduduk Islam juga boleh mendapatkan panduan waktu sembahyang daripada pegawai masjid berkenaan.

    Menurut Wosim, seorang lagi komuniti Islam yang sempat saya temui, setiap datangnya bulan Ramadan, mereka iaitu kumpulan belia masjid akan menyediakan makanan waktu berbuka puasa untuk penduduk yang tinggal atau kerja berhampiran termasuk bagi para pekerja dari negara luar seperti India, Pakistan dan Bangladesh.

    Mereka juga menjemput rakan-rakan Hindu untuk turut sama menikmati hidangan berbuka. Sebelum masuknya waktu Maghrib, laluan depan kedai di satu kawasan khas ditutup dan di sinilah mereka akan menghidangkan juadah untuk berbuka puasa. Kumpulan belia tersebut menerima sedekah daripada penduduk di Thamel berupa wang dan juga makanan.

    Bagi Wosim dan teman-temannya walau agak penat menyediakan dan memasak makanan dalam jumlah yang banyak namun mereka merasa seronok dan gembira dapat berbuat sesuatu yang berkebajikan pada setiap bulan Ramadan.

    Bagi Rafik Khan seorang tukang jahit, bulan Ramadan merupakan bulan yang paling sibuk baginya kerana ramai pelanggan yang menempah membuat pakaian untuk hari raya.
    Kanak-kanak Islam Nepal ketika berbuka puasa.

    Mereka di Nepal mengikuti tarikh yang ditetapkan di India atau Pakistan bagi penetapan hari-hari kebesaran Islam seperti bermulanya puasa, Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha.

    Sama seperti umat Islam di negara lain, selepas sembahyang raya mereka akan menziarahi kedua orang tua, kemudian berkunjung ke rumah ahli keluarga dan sahabat handai.

    Rakan-rakan mereka yang terdiri daripada penganut ugama lain juga turut memeriahkan sama sambutan hari raya. Bagi yang bekerja ada yang mengambil cuti, manakala ‘rumah terbuka’ diadakan di sebelah malam selepas waktu bekerja. Antara hidangan yang disediakan ialah nasi briyani, masakan ayam dan kambing, sayuran serta bermacam-macam jenis kuih.

    Komuniti Islam

    Bagi Rafik Khan seorang tukang jahit yang sudah berkeluarga dan mempunyai tiga orang anak perempuan, bulan Ramadan merupakan bulan yang paling sibuk baginya kerana ramai pelanggan yang menempah membuat pakaian untuk hari raya.

    Di masa kesibukan ini, isterinya turut membantu. Disebabkan mereka tinggal agak jauh maka mereka juga turut berbuka beramai-ramai bersama penduduk Islam di sekitar kawasan Thamel.

    Bagi komuniti Islam yang mampu untuk menunaikan fardu haji, mereka hendaklah awal menghantar permohonan iaitu dalam masa tujuh hingga kelapan bulan kepada komiti masjid. Komiti tersebutlah yang akan mengurus segala keperluan dengan pihak Arab Saudi untuk pemergian mereka ke tanah suci.

    Kini untuk pelancong yang beragama Islam tidak sukar apabila berkunjung ke Nepal sebab restoran halal pun sudah banyak terdapat di sana.

    Di samping itu anda juga boleh memilih untuk tinggal di hotel-hotel yang berdekatan masjid di Kathmandu, ibu negeri Nepal.

    Anda juga boleh mendapatkan khidmat daripada para pengusaha agen pelancongan yang bersedia untuk membantu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda