Semenjak awal pembabitannya dalam bidang lakonan lebih sedekad lalu, pelakon berbakat hebat, Ruzana Ibrahim sentiasa mendambakan kepelbagaian watak untuk membuktikan kemampuan lakonannya.
Bagaimanapun, anak kelahiran Kuala Lumpur yang turut aktif dalam lakonan pentas itu, akur apabila dirinya begitu sinonim dengan watak antagonis yang mendominasi profil lakonannya.
Bagaimanapun, penglibatannya dalam drama psiko thriller, Misteri Mona yang kini sedang disiarkan di Slot Samarinda, TV3, bermula 10 Disember lalu, memberi cabaran berbeza buatnya.
“Saya sudah lama menantikan peluang membawakan watak berbeza dalam lakonan, terutamanya watak psiko se-perti karakter saya dalam Misteri Mona.
“Semestinya ia bukan satu tugas mudah, tetapi saya mengambil cabaran ini kerana mahu memberikan kelainan dalam lakonan.

“Jika sebelum ini, penonton sering melihat saya dengan watak antagonis, kali ini mereka dapat lihat saya dengan sisi lain,“ katanya.
Berkongsi pengalamannya menjayakan watak Mona, Ruzana berkata, sepanjang menjalani penggambaran drama tersebut, dia berdepan pelbagai cabaran untuk menghidupkan karakter itu.
“Naskhah ini sangat berat, tetapi cukup menarik dari segi pengisian dan cabaran dilalui setiap karakter terlibat.
“Sebagai Mona, saya banyak bermain dengan dalaman melibatkan emosi yang sentiasa berubah-ubah mengikut situasi.
“Bukan sahaja penat fizikal, tetapi mental dan emosi kerana karakter dibawakan itu sangat mencabar dan banyak menguji kemampuan lakonan.
“Saya juga bertuah kerana dapat bekerja di bawah arahan Amor Rizan yang sentiasa jelas dengan apa yang dimahukan dalam naskhah garapannya, selain banyak membantu saya menghidupkan watak,“ ujarnya teruja. – Agensi