KIGALI, 8 DIS – Rwanda telah melancarkan Pelan Strategik Transformasi Pertanian ke-5 (PSTA5) untuk membangunkan sistem agri-makanan yang berdaya tahan dan mampan di ibu negara Kigali.
Pelan itu bertemakan Membangunkan Sistem Agri-Makanan yang Berdaya Tahan dan Mampan akan menjadi panduan utama dalam merubah sektor pertanian negara untuk mencapai jaminan makanan, penggunaan tanah yang mampan dan pembangunan ekonomi.
Dalam ucapan pelancaran pada Jumaat, Menteri Pertanian dan Sumber Asli, Mark Cyubahiro Bagabe menekankan potensi transformasi PSTA5, menyifatkan pelan itu sebagai pendekatan unik dalam pembangunan pertanian. “PSTA5 unik kerana ia tertumpu kepada sistem makanan pertanian – itulah fokus utamanya,” katanya.
Bagabe menggesa golongan belia Rwanda untuk memainkan peranan penting dalam pelaksanaan pelan itu, sambil menekankan penggunaan teknologi canggih seperti Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).
“Apabila kita bercakap mengenai penggunaan teknologi seperti IoT dan AI untuk memajukan pertanian, saya boleh katakan kita berada di landasan yang sama. Saya melihat golongan belia sebagai tonggak produktiviti,” katanya.
Beliau juga menekankan pentingnya untuk memastikan pelan strategik itu diterjemahkan kepada hasil yang nyata.
PSTA5 memberi tumpuan kepada pemodenan pengeluaran pertanian dan sumber haiwan, pembangunan pasaran yang inklusif, serta penciptaan pekerjaan dalam sektor pertanian dan sistem makanan.
Pelan lima tahun itu bertujuan menangani cabaran besar seperti produktiviti rendah, keselamatan makanan dan kekangan dalam komersialisasi sektor, sementara meningkatkan ketahanan terhadap kejutan iklim seperti kemarau dan banjir. Ia selaras dengan dasar utama negara dan rangka kerja global. – Xinhua
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/12/P10-2b-AFP_09122024.jpg)