Thursday, October 17, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rwanda mula ujian klinikal rawatan Marburg

    GENEVA, 16 OKT – Rwanda memulakan ujian klinikal pertama di dunia untuk rawatan virus Marburg yang menyerupai Ebola, yang membunuh lebih daripada belasan orang di negara itu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin.

    “Berita yang menggembirakan dari Rwanda,” kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus di X.

    Beliau memuji bahawa negara itu telah melancarkan ujian klinikal pertama di dunia untuk penyakit virus Marburg dengan kerjasama agensinya, yang melibatkan penggunaan ubat yang digunakan untuk merawat COVID-19.

    Wabak Marburg pertama kali diumumkan di Rwanda pada akhir September dan program vaksinasi menggunakan vaksin percubaan dilancarkan awal bulan ini.

    Pengawas kesihatan Kesatuan Afrika pada Khamis lalu berkata bahawa wabak itu berjaya dikawal.

    Pekerja perubatan membawa makanan ke khemah pengasingan di Hospital Nasional Kenyatta di Nairobi, Kenya. – AP

    Pada masa itu, negara kecil di wilayah Great Lakes di Afrika telah mencatatkan sehingga 58 kes penyakit itu, dengan 13 kematian, kata Menteri Kesihatan Rwanda, Sabin Nsanzimana.

    Beliau berkata 12 orang telah sembuh manakala lebih daripada 2,700 diuji.

    Marburg disebarkan kepada manusia melalui kelawar buah dan merupakan sebahagian daripada keluarga filovirus yang merangkumi Ebola.

    Dengan kadar kematian sehingga 88 peratus, demam berdarah Marburg yang sangat berjangkit sering disertai dengan pendarahan dan kegagalan organ.

    Pada masa ini tiada vaksin atau rawatan antivirus yang diluluskan secara rasmi, tetapi rawatan berpotensi, termasuk produk darah, terapi imun dan ubat sedang dinilai.

    WHO berkata di X bahawa ujian rawatan baharu itu “melibatkan ujian keselamatan dan keberkesanan Remdesivir, sebuah ubat terhadap virus yang telah digunakan untuk merawat COVID-19 dan MBP091, antibodi khas yang direka untuk melawan virus Marburg,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda