Tuesday, October 8, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rwanda mula vaksinasi Marburg

    KIGALI, 7 OKT – Menteri kesihatan Rwanda berkata negara itu akan memulakan vaksinasi terhadap virus Marburg seperti Ebola yang boleh membawa maut kelmarin selepas menerima kira-kira 700 dos vaksin percubaan.

    Angka kematian sejak wabak itu diumumkan di Rwanda pada 28 September telah meningkat kepada 12 orang, kebanyakannya adalah pekerja kesihatan.

    Dengan kadar kematian yang mencapai sehingga 88 peratus, demam berdarah yang sangat berjangkit itu sering disertai dengan pendarahan dan kegagalan organ.

    “Vaksin itu telah diuji oleh pegawai kesihatan di Rwanda dan biro piawaian,” kata Menteri Kesihatan, Nsanzimana Sabin kepada pemberita.

    “Hari ini kami akan mula memberikan imunisasi kepada mereka yang paling berisiko dijangkiti penyakit ini, termasuk doktor dan individu lain yang pernah berhubung dengan pesakit Marburg,” jelasnya.

    Pekerja perubatan membawa makanan ke khemah pengasingan di Hospital Nasional Kenyatta di Nairobi, Kenya. – AP

    Beliau menambah bahawa terdapat rancangan untuk memesan lebih banyak dos.

    Vaksin percubaan ini, yang kini dalam ujian fasa 2, disediakan oleh Institut Vaksin Sabin yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

    “Penghantaran awal yang merangkumi kira-kira 700 dos vaksin akan digunakan dalam ujian yang menyasarkan pekerja barisan hadapan, termasuk profesional penjagaan kesihatan yang paling teruk dilanda virus maut itu,” kata institut itu dalam satu kenyataan baru-baru ini.

    Ia berkata ujian telah dijalankan di negara jiran Uganda dan Kenya, tanpa sebarang kebimbangan keselamatan dilaporkan setakat ini.

    Kira-kira 41 orang telah disahkan menghidap penyakit itu di Rwanda, kata kementerian kesihatan.

    Lembaga Pembangunan Rwanda menyatakan bahawa langkah perjalanan sedang dilaksanakan kelmarin. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda