LONDON, 5 JULAI – Juara bertahan, Elena Rybakina berjaya mengatasi ketakutannya di Centre Court sebelum berjaya melangkah ke pusingan kedua Wimbledon semalam.
Namun, dia kecewa dengan permulaannya yang gugup apabila menyaksikan kehadiran Roger Federer yang duduk di ruang duduk diraja.
Rybakina menewaskan Shelby Rogers dari Amerika Syarikat dengan keputusan 4-6, 6-1, 6-2 pada pusingan pertama, sementara juara lapan kali Wimbledon yang telah bersara, Federer, turut menyaksikan perlawanan tersebut.
“Mungkin itulah sebabnya saya gugup kerana sebenarnya saya sangat mengagumi Roger. Semasa saya kecil, saya sentiasa mengikuti permainannya,” katanya.
“Suasana dan perhatian di Centre Court ini berbeza dari tahun lalu, kerana tahun lalu saya mula di gelanggang yang lebih kecil.

“Sekarang terus ke gelanggang besar ini. Bagi saya, ini merupakan babak baharu dan saya perlu menyesuaikan diri serta mengekalkan tahap permainan saya,” tambahnya.
Pemain wanita berusia 24 tahun kelahiran Kazakhstan itu tiba di London dalam keadaan kurang sihat selepas menghadapi masalah virus yang menyebabkannya tewas awal di Berlin sebelum menarik diri dari Eastbourne.
“Saya berasa lebih baik walaupun bukan mudah untuk kembali pulih,” kata Rybakina.
“Saya gembira mendapat kemenangan dan ia memberikan saya lebih keyakinan untuk pusingan seterusnya.”
Rybakina turut tampil di gelanggang dengan memakai seluar hitam di bawah gaun putihnya. – AFP

