Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Pasukan RYS meneruskan kecemerlangan memburu kejuaraan Liga Veteran Bola Keranjang 5.11 selepas melengkapkan kemenangan tipis 62-61 ke atas pasukan Tool Box dalam pertemuan di Gelanggang Persatuan Bola Keranjang Brunei di Batu Satu, hari ini.
Yong Wei Kong mengetuai pasukannya menuju kemenangan dengan menjaringkan 16 mata sementara rakan sepasukan, Alex, merupakan pemain lain yang berjaya menjaringkan mata dua angka dengan 12 mata.
Eavier Fong dan Ho Hee Lee memainkan peranan penting dengan jaringan percubaan tiga mata yang sudah mencukupi untuk mengatasi cabaran pasukan Tool Box.
Semasa awal perlawanan di suku pertama menyaksikan lontaran percuma berjaya dijaringkan oleh Kenneth Han dan melanjutkan kedudukan RYS mendahului perlawanan dengan sembilan mata namun Kenny Lim berjaya merapatkan jurang.
Pasukan Tool Box kembali bangkit untuk menyamakan kedudukan ketika Yong Wei Kong tanpa sengaja menyebabkan turnover dan dihukum oleh Lim How untuk mengurangkan jurang kepada hanya empat mata.
Mereka meneruskan momentum menyerang dan menyamakan kedudukan serta mendahului satu mata selepas berjaya menjaringkan mata.
Walau bagaimanapun, pasukan RYS mula bertindak garang semasa suku kedua selepas mencatatkan keputusan 6-0 hasil asakan bertubi-tubi ke bahagian pertahanan, sebelum serangan balas pantas menyaksikan Yong Wei Kong menjaringkan percubaan dua mata.
Namun begitu, pasukan Tool Box menghentikan momentum tersebut dengan Kenny Lim menjaringkan percubaan dua mata tetapi pertahanan mantap pasukan RYS menghalang asakan berterusan.
Serangan bertubi-tubi turut mencetuskan tindak balas daripada pasukan Tool Box dan mereka melakukan perubahan ketika Kenny Lim berjaya mencuri bola sebelum membantu rakan sepasukannya untuk menjaringkan percubaan dua mata.
Pasukan RYS, yang mencatatkan kemenangan ketiga dalam kejohanan, kembali mendahului selepas percubaan tiga mata daripada Alex meletakkan pasukannya satu mata di hadapan.
Eavier Fong memberi inspirasi di bahagian pertahanan untuk pendahulu liga dengan aksi mantap menafikan percubaan Kenny Lim sebelum rebound yang menyebabkan Alex berjaya membuat percubaan dua mata.
Tetapi pasukan Tool Box menemui penyelesaian dan berjaya mencari jalan untuk menewaskan kekuatan pertahanan Eavier. Kedua-dua pasukan masih bersaing menuju suku ketiga dengan RYS mendahului Tool Box 33-32.
Kejohanan akan diteruskan pada Isnin yang menyaksikan pasukan Concepts Computer bertemu LinkTech, sementara pasukan GHK Motors akan bertemu pasukan Tool Box.
