LOS ANGELES, 2 MEI – Ryu Hae-ran dari Korea Selatan dan Ariya Jutanugarn dari Thailand bangkit semula selepas prestasi mengecewakan dalam Kejohanan Chevron apabila mencatat permulaan cemerlang pada pusingan pertama Kejohanan LPGA Black Desert kelmarin, acara pertama LPGA yang diadakan di Utah sejak 1964.
Ryu mencatat 13 daripada 14 fairways dan 17 daripada 18 green dan hanya memerlukan 27 putts dalam sembilan bawah par 63, satu pukulan di hadapan Ariya dan Hsu Wei-Ling dari Taiwan.
Minggu lalu, Ryu berkongsi kedudukan pendahulu selepas 54 lubang dalam Kejohanan Chevron, namun pusingan akhir dengan skor 76 menyebabkannya gagal ke playoff lima pemain wanita dengan hanya dua pukulan.
Ariya pula hanya perlu mengekalkan pendahuluan satu pukulan di lubang ke-72, tetapi bogey yang dilakukan menafikan peluangnya apabila tewas dalam playoff yang dimenangi Mao Saigo dari Jepun.
Ryu berkata pemikirannya tidak berubah di Black Desert di Ivins, Utah, di mana dia memulakan dengan birdie pada lubang ke-10 dan ke-11, menambah birdie pada lubang ke-13, 15 dan ke-17, kemudian membuat empat lagi birdie masuk.
“Saya tidak ubah apa-apa dari segi pemikiran,” kata Ryu. “Minggu lepas padang sangat mencabar, minggu ini pun sama. Saya hanya fokus pada ketepatan pukulan.”
Ryu juga berkata padang di Ivins, Utah ini “tidak terlalu sempit, tapi terasa sempit kerana banyak batu di sekeliling.”
Ariya turut mendapat manfaat apabila memulakan permainan awal, memanfaatkan keadaan tanpa angin pada waktu pagi. – AFP
