Pelakon, Ryu Jun Yeol lebih selesa mengambil pendekatan berdiam daripada memberi komen tentang hubungan cintanya bersama aktres Han So Hee yang hangat diperkatakan sebelum ini, lapor mStar.
Bagi Jun Yeol, 38, sebarang kenyataan dikeluarkan ketika isu tersebut panas mungkin boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan peminat.
Disebabkan itu, dia memilih untuk mendiamkan diri daripada bercakap mengenainya dan bukan kerana dia pengecut atau mahu melarikan diri daripada masalah.
Pelakon ini juga terbuka menerima segala kritikan termasuk dakwaan kononnya dia bermain kayu tiga dengan bekas kekasihnya, Hyeri.
“Saya rasa lebih baik berdiam diri daripada mengeluarkan kenyataan untuk betulkan salah faham yang berlaku di media sosial. “Saya menerima semua kritikan yang diberikan,” katanya.
Jun Yeol mengulas mengenai perkara tersebut buat pertama kali ketika tampil dalam sidang media drama lakonan terbaharunya iaitu The 8 Show yang diadakan di Seoul, Korea Selatan pada Jumaat lalu.
Dalam pada itu, Jun Yeol memberitahu dia akan menjelaskan segala persoalan tentang kisah peribadinya dalam satu sidang media khas nanti.
“Berkaitan isu peribadi, akan ada masa untuk saya jawab dalam satu sesi temu bual,” jelasnya. – Agensi