Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Pelanggan kini boleh menjalani pandu uji kereta Mercedes Benz model S-Class terkini semasa pandu uji Hi Tea anjuran Jati Transport di Mercedes-Benz Autohaus bermula hari ini selama tiga hari.
Model S-Class yang baharu berkenaan dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri dan fungsi bantuan pemanduan autonomi yang lebih canggih untuk keselesaan dan keselamatan pemandu dan penumpang.
Antara ciri-ciri yang didapati pada model tersebut adalah Active Distance Assist DISTRONIC dan Active Steering Assist yang membantu pemandu untuk mengekalkan jarak yang selamat, dan kelajuan kenderaan kini juga diselaraskan secara automatik di selekoh dan persimpangan jalan.
Dengan kelajuan hingga 210 km sejam, Active Steering Assist juga membantu pemandu memastikan kenderaan berada di tengah lorongnya di jalan lurus atau selekoh.
Di samping itu, ciri bantuan brek aktif dengan fungsi lalu lintas dan fungsi brek kecemasan kesesakan lalu lintas membantu mengelakkan atau mengurangkan impak kemalangan dengan kenderaan di hadapan serta pejalan kaki.


Manakala Active Blind Spot Assist berfungsi memberi amaran kepada pemandu kenderaan di kawasan titik buta semasa pertukaran lorong, dan membantu mengelakkan perlanggaran dengan menggunakan brek satu sisi.
Active Lane Keeping Assist yang telah dipertingkatkan berfungsi memberi amaran kepada pemandu yang keluar dari lorong secara tidak sengaja dan membantu mengembalikan kenderaan ke lorongnya dengan menekan brek satu sisi, sementara kenderaan juga dilengkapi dengan Active Lane Changing Assist untuk menukar lorong dengan mudah antara 80 hingga 180km sejam.
Pelbagai teknologi canggih dan ciri-ciri menarik boleh anda ketahui semasa uji pandu yang bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.