KENINGAU, 8 Nov – Sabah merupakan contoh terbaik acuan konsep 1Malaysia di negara ini, kata Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Sairin Karno.
Katanya amalan bersatu, bekerjasama dan saling hormat menghormati dalam kalangan kepelbagaian etnik dan anutan agama telah menjadi budaya rakyat di negeri ini sejak sekian lama.
“Ini merupakan contoh terbaik (bentuk) masyarakat sebagaimana diimpikan dalam konsep gagasan 1Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Seruan Negeri Di Bawah Bayu dan Belia bersama Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sini hari ini.
Program yang julung kali diadakan di Kampung Keningau itu menyajikan pelbagai aktiviti melibatkan ceramah pendidikan serta motivasi kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) merupakan anjuran Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Teks ucapan Sairin disampaikan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan Sahanip Jamil.
Sairin yang juga Anggota DUN Liawan berkata keistimewaan rakyat di negeri ini ialah walaupun berbeza fahaman politik, pelbagai kaum dan anutan agama namun mereka masih mampu hidup sekampung dengan suasana harmoni tanpa sebarang prasangka.
“…ini yang kami warisi daripada nenek moyang dan inilah kualiti rakyat Sabah yang amat sukar berlaku di negeri lain di Malaysia. Kita perlu terus memperkasa perpaduan sedia ada dengan melakukan sedikit sebanyak penambahbaikan khususnya meningkatkan penguasaan dalam bidang pendidikan,” katanya. – Bernama