KOTA KINABALU, 27 Feb – Kerajaan Sabah merancang untuk mempelbagaikan industri termasuk membuka peluang kepada sektor automotif berkembang di negeri itu bagi menjadikan ia sebagai sumber pendapatan baharu ke arah merancakkan lagi pembangunan ekonomi negeri.
Timbalan Naib Presiden Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) Iwan Masrul berkata langkah itu juga bertujuan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri itu terutama dalam kalangan graduan bidang teknikal, kejuruteraan dan vokasional. Beliau berkata komitmen kerajaan negeri untuk membangunkan industri automotif itu disokong dengan hasrat Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCMH) yang berminat membuat pelaburan jangka panjang bernilai RM600 juta.
“Sabah mempunyai prospek serta potensi bagus untuk membangunkan industri automotif selain negeri ini juga tidak mempunyai masalah besar untuk melonjakkan pembangunan sektor itu kerana adanya Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).” – Bernama