Monday, December 2, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sabah bakal nikmati pembangunan saksama

    KOTA KINABALU, 31 JULAI – Sabah bakal menikmati pembangunan secara saksama merangkumi pelbagai aspek termasuk dalam bidang pendidikan, infrastruktur dan peluang pekerjaan menerusi kerangka Ekonomi MADANI diluncurkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

    Menyifatkan kerangka Ekonomi MADANI sebagai inklusif, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata komitmen Kerajaan Perpaduan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia antara lain dapat dilihat menerusi peruntukan tambahan RM800 juta bagi menyelesaikan masalah air di Kelantan dan Sabah.

    Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata peruntukan tambahan bagi tujuan penyelesaian jangka pendek isu air di kedua-dua negeri itu kelak akan dapat memastikan bekalan air berkualiti dapat dinikmati oleh rakyat secara konsisten.

    Dalam aspek pendidikan, Arthur berkata PBRS menyokong penuh langkah Kerajaan Perpaduan menambah peruntukan, memudah tatacara perolehan serta menurunkan kuasa pelaksanaan (decentralisastion) bagi mempercepat pelaksanaan projek sekolah dan menambah baik sekolah-sekolah daif.

    “Saya yakin usaha ini akan membantu mempermudah urusan dan mempercepat usaha Kerajaan Sabah untuk merancang serta merencana pembaikan dan pembangunan kemudahan pendidikan bersesuaian dengan keperluan rakyat di Sabah,” katanya.

    Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata akses kepada kemudahan dan persekitaran sekolah yang selesa adalah kritikal bagi mencorakkan minda anak-anak muda di luar bandar.

    Mengulas lanjut, Arthur berkata hasrat Kerajaan Perpaduan memastikan pembangunan rendah karbon dengan memberi tumpuan kepada meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu adalah selari dengan komitmen Sabah untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui bagi menarik minat pelabur yang mementingkan aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus. – Bernama

    Datuk Arthur Joseph Kurup ketika menghadiri Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, 22 Jun. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda