TUARAN, 19 FEB – Kerajaan Sabah akan memperkenal satu lagi program baharu khusus bagi membantu meringankan beban rakyat dalam menghadapi kesukaran menangani kos sara hidup, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata sekiranya semua perancangan berjalan lancar, teratur dan selaras mengikut kemampuan kewangan negeri, program itu dijangka dapat dilaksanakan tahun ini, sebagai tambahan kepada pelbagai program bantuan sedia ada yang telah dilaksanakan kerajaan negeri.
“Sebagai sebuah kerajaan sentiasa prihatin dan peduli rakyat, kita kena memikirkan sesuatu untuk membantu rakyat terutamanya dengan peningkatan kos sara hidup.
“Saya dan rakan-rakan dalam Kabinet negeri sentiasa memikirkan usaha dan inisiatif untuk membantu rakyat terutama mereka daripada golongan miskin dan miskin tegar,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Program Sentuhan Kasih atau SYUKUR 2025, di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah di sini hari ini.
Merujuk kepada pelaksanaan program hari ini, Hajiji berkata SYUKUR menyediakan bantuan tunai bulanan RM300 kepada mereka yang layak sehingga 31 Disember 2025, melibatkan peruntukan RM358.5 juta dan memanfaatkan 100,000 penerima, bagi meringankan beban kewangan serta memastikan kesejahteraan kehidupan mereka terjaga.
Beliau berkata pelaksanaan program itu juga diharapkan dapat membantu meningkatkan kehidupan mereka yang terjejas selain mewujudkan masyarakat lebih sejahtera dan inklusif.
“Bermula Februari 2025 sebanyak 72,058 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar berdaftar dalam sistem eKasih setakat 31 Disember 2024 menerima manfaat ini.
“Sebanyak 52,201 orang menerima bayaran terus ke akaun bank bermula 17 Februari manakala 19,857 lagi penerima tidak mempunyai akaun, dibayar berperingkat sama ada menerusi bantuan secara tunai atau pembukaan akaun khas bagi memudahkan pembayaran fasa pertama sehingga Mac ini,” katanya.
Hajiji berkata kerajaan negeri akan melaksanakan fasa kedua program pada Mei, melibatkan lebih ramai penerima termasuk golongan miskin dan miskin tegar yang tercicir daripada senarai sebelum ini. – Bernama
