TAWAU, 23 JULAI – Sabah mempunyai potensi besar dalam industri halal berdasarkan sumber bahan mentah dan barangan separa siap di negeri itu selain kedudukan strategik dan geografinya yang luas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation (HDC), Hairol Ariffein Sahari.
Beliau berkata selain akses penerbangan yang baik antaranya penerbangan terus Tawau-China yang membuka peluang bagi perniagaan halal, Sabah juga mampu menjadi perantara yang menghubungkan rantaian bekalan halal Malaysia dengan negara besar seperti China, Jepun dan Korea Selatan.
“Prospek sumber dan usahawan di Sabah juga boleh diketengahkan untuk pengeluar di Semenanjung atau seluruh dunia yang membolehkan pengeluar menghasilkan produk halal bermutu tinggi,” katanya kepada Bernama selepas perasmian program Jelajah Halal Malaysia@Tawau Sabah di sini, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Hairol Ariffein dalam usaha merealisasikan potensi Sabah, faktor penting adalah memastikan bahan mentah atau barangan separa siap yang digunakan dalam proses pengilangan mempunyai sijil halal yang sah.
Berikutan itu, HDC dalam usaha mengenal pasti sumber atau syarikat terutama dari Sabah yang dapat membekalkan bahan mentah atau barangan separa siap yang disahkan halal.
Beliau berkata sasaran utama HDC bagi industri halal adalah untuk menyumbang 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) Malaysia pada 2030 yang turut menyaksikan unjuran sumbangan Sabah yang lebih besar selepas ini. – Bernama