SANDAKAN, 6 OGOS – Sabah mencatatkan sebanyak 988,680 ketibaan pelancong dari dalam dan luar negara bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, meningkat kira-kira 77.1 peratus berbanding 558,169 pelawat bagi tempoh sama pada tahun lepas, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, perkembangan itu jelas menunjukkan sektor pelancongan di Sabah terus bertumbuh kukuh tahun ini dan untuk masa akan datang.
“Justeru, kerajaan negeri terus berusaha untuk memulihkan dan membangunkan sektor pelancongan melalui pelbagai program pada tahun ini. Pembukaan semula pintu-pintu masuk sempadan negara telah memberi impak positif dan menggalakkan pemulihan sektor pelancongan negeri Sabah.
“Daripada 988,680 pelawat yang datang, sebanyak 282,450 ialah pelancong antarabangsa manakala 706,230 pelawat tempatan dengan anggaran penerimaan pelancongan sebanyak RM2.02 bilion dijana dari Januari hingga Mei 2023,” katanya pada Pelancaran Festival Sandakan di Padang Bandaran Sandakan malam tadi.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri negeri.
Hajiji memberitahu kerajaan negeri menjangkakan ketibaan 2.2 juta pelancong ke Sabah tahun ini, yang dijangka berupaya menjana pendapatan sebanyak RM4.1 bilion.
Oleh itu, beliau berkata kerajaan negeri komited merancakkan lagi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program pelancongan yang inklusif, terutama promosi pelancongan dan pengembangan jaringan rangkaian udara. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P14-D-web-Freepik_07082023.jpg)