Sabah catat kluster ke-7

PUTRAJAYA, 22 SEPT – Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti satu lagi kluster di Sabah iaitu Kluster Bangau-Bangau di Semporna yang merupakan kluster ketujuh di negeri itu setakat ini, kata  Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata setakat hari ini, terdapat lima kes positif dikesan dalam kluster tersebut, iaitu kes ke-10,340 hingga ke-10,344 yang melibatkan empat rakyat tempatan dan satu warga asing.

“Kluster ini dikenal pasti hasil saringan kemasukan pesakit ke Hospital Semporna. Kesemua mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Semporna untuk rawatan,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di KKM, di sini hari ini.

Beliau berkata bagi kluster itu, seramai 97 individu telah disaring setakat ini dengan 92 masih menunggu keputusan, manakala punca jangkitan masih dalam siasatan.

Justeru, beliau berkata langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan telah dijalankan manakala perkhidmatan di Hospital Semporna masih berjalan seperti biasa. – Bernama