KOTA KINABALU, 15 OKT – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata Sabah dijangka terus menerima peruntukan bagi pembangunan luar bandar dalam Belanjawan 2025 untuk merapatkan jurang dengan kawasan bandar.
Beliau berkata peruntukan itu adalah bagi menambah baik kemudahan asas khususnya dalam menangani isu berkaitan sekolah dan klinik daif.
“Bagi tujuan ini, tumpuan akan diberikan untuk memastikan akses penuh kepada kemudahan asas khususnya jalan raya, bekalan air bersih terawat dan elektrik,” katanya pada mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri di Menara Kinabalu di Kota Kinabalu hari ini.
Hajiji juga berkata kerajaan akan terus memfokus kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat merangkumi penyediaan perlindungan sosial untuk semua lapisan masyarakat, pekerjaan dengan gaji lebih baik serta langkah dan dasar yang bakal menyaksikan pengagihan kekayaan negara secara adil.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Sabah optimis Belanjawan 2025 akan membawa Malaysia lebih dekat untuk merealisasikan Ekonomi MADANI dengan kerjasama semua rakyat Malaysia.
Hajiji berkata Belanjawan 2025, yang akan dibentang Jumaat ini adalah kerangka hala tuju jangka panjang ekonomi Malaysia bagi meningkatkan siling potensi negara dan tahap kualiti kehidupan rakyat selaras dengan temanya iaitu Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera. – Bernama