Sabah FC kehilangan Saddil Ramdani

KOTA KINABALU, 1 OKT – Sabah FC terpaksa melupakan khidmat pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani dalam saingan Piala Malaysia musim ini selepas beliau mengalami kecederaan pangkal paha yang serius.

Pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir berkata perkara itu disahkan pakar bedah ortopedik Hospital KPJ Damansara, Dr Gan Eng Cheng. Marzuki berkata Saddil, pemain sayap skuad kebangsaan Indonesia berusia 22 tahun, perlu mendapatkan rawatan susulan dan terpaksa berehat sekurang-kurangnya tiga bulan atas nasihat doktor jika ingin pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

“Kecederaan ini dialaminya sejak lima perlawanan terakhir saingan Liga Super. Pihak pengurusan amat mengharapkan agar Saddil dapat segera pulih 100 peratus untuk menghadapi saingan Liga Super 2022,” katanya menerusi kenyataan hari ini. – Bernama