KOTA KINABALU, 16 MEI – Sabah FC memastikan isu penyudah tumpul dapat diselesaikan menjelang aksi menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu malam esok.
Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim swee berkata tumpuan diberikan kepada bagaimana menyelesaikan perkara yang membelenggu The Rhinos berikutan ia antara punca mereka sekadar mencatat keputusan seri dalam perlawanan pertama menentang Penang FC, Ahad lepas.
“Sasaran kita adalah ingin beraksi cemerlang dalam setiap perlawanan apa lagi untuk meraih tiga mata malam esok. Apa yang lebih penting, adalah semua pemain perlu kekal fokus dengan apa juga corak permainan nanti.
“Sabah FC menganggap perlawanan malam esok sangat penting untuk mencapai sasaran ditetapkan oleh pihak pengurusan sekali gus memastikan pulang dengan satu keputusan sangat positif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengenai perlawanan berdepan KDN FC, Kim Swee menjangkakan kemungkinan aksi malam esok sengit kerana Kelantan tewas dengan jumlah jaringan yang agak kecil 0-1 kepada Sri Pahang FC.
“Keputusan tersebut membuktikan Kelantan bukan lagi seperti pasukan Kelantan yang sudah kita ketahui sebelum ini ataupun pada musim lepas.
“Tugas Sabah lebih mencabar, perlawanan malam esok sudah tentu pihak tuan rumah (Kelantan) ingin mempamerkan mutu persembahan bertenaga dan memberi cabaran besar kepada pemain untuk mendapatkan keputusan positif,” katanya. – Bernama