Saturday, September 21, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sabah kekalkan 64% hutan Malaysia

    SANDAKAN, 27 APRIL – Sabah pada masa ini mengekalkan 64 peratus daripada keluasan negeri itu sebagai litupan hutan dalam usaha melindungi khazanah semulajadi Negeri di Bawah Bayu ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

    Beliau berkata, kawasan itu juga meliputi 3.84 juta hektar atau 52 peratus keluasan negeri sebagai kawasan yang diwartakan sebagai kawasan hutan simpan dan kawasan perlindungan lain.

    Katanya langkah itu juga selaras dengan komitmen Kerajaan Sabah untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan negeri ini sebagai litupan hutan negeri sejajar dengan Dasar Hutan Sabah 2018.

    “Bagi memperkasa pengurusan hutan negeri dan melindungi khazanah penting itu, Sabah telah mewartakan sehingga 1.9 juta hektar atau 26.4 peratus sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya.

    Ia penting bagi mencapai sasaran 2.2 juta hektar atau 30 peratus daripada keluasan negeri (sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya) menjelang 2025,” katanya dalam ucapan pelancaran Hari Hutan Antarabangsa 2023 Peringkat Negeri Sabah di Rainforest Discovery Centre (RDC) hari ini.

    Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

    Hajiji berkata Kerajaan Sabah juga sedang melakukan usaha rasionalisasi guna tanah bagi tujuan keseimbangan pembangunan sosioekonomi serta konservasi alam sekitar, sehubungan itu Jabatan Perhutanan Sabah sedang merangka satu Pelan Induk Hutan Negeri. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda