Sabah keluar arahan baharu

KOTA KINABALU, 26 MAC – Sebagai langkah menangani penularan wabak COVID-19, kerajaan Sabah mengeluarkan beberapa lagi arahan baharu hari ini termasuk arahan kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan bagi semua individu dan pelajar dari luar negara yang masuk secara terus ke Sabah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong berkata manakala bagi mana-mana pelajar atau orang awam yang balik dari luar negeri ke Sabah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan dikenakan Stay Home Notice dan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

“Sabah COVID-19 Command Centre hari ini juga ingin memaklumkan bahawa bantuan makanan kepada golongan yang terjejas secara langsung oleh wabak berkenaan di seluruh Sabah telah mula diagihkan sejak jam 3 petang, semalam.

“Sebahagian besar daripada bantuan ini dijangka akan dapat diterima oleh kumpulan sasar pada hari ini manakala bagi selebihnya, bantuan akan disampaikan dalam tempoh yang terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Safar berkata Pembayaran Elaun Bantuan Khas One-Off RM500 kepada golongan miskin dan miskin tegar akan dibayar secara dalam talian (online) mulai hari ini, oleh semua Pejabat Daerah di seluruh Sabah.

“Bagi yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran akan dilakukan secara tunai manakala pembayaran Bantuan Tunai One-Off RM300 kepada golongan berpendapatan rendah B40, atau golongan yang terjejas teruk, iaitu yang terdiri daripada pemandu teksi, petani, pekebun, nelayan, penternak, malim gunung dan porter serta pemandu pelancong bebas akan dibayar secara online ke akaun bank masing-masing bermula hari ini,” katanya.

Beliau berkata bagi kumpulan vulnerable seperti warga tua, anak-anak yatim, orang kelainan upaya yang melibatkan seramai 62,638 orang dan ibu tunggal seramai 6,500 orang di seluruh Sabah dijangka akan menerima Bantuan One-Off RM300 secara online ke akaun bank masing-masing bermula esok,” tambahnya. – Bernama

Kebanyakan kedai di Gaya Street di sini menutup operasi kecuali beberapa kedai serbaneka masih dibuka untuk kemudahan orang ramai membeli barang keperluan harian. Sabah mengeluarkan beberapa lagi arahan baharu kelmarin termasuk arahan kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan. – Bernama