KOTA KINABALU, 26 SEPT – Sabah kini dihubungkan dengan 10 bandar utama di China berikutan pengenalan semula penerbangan terus dari Kunming ke Kota Kinabalu, kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) menyambut ketibaan penerbangan pertama dari Kunming oleh AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), pagi ini.
Joniston berkata meskipun China kekal sebagai pasaran utama Sabah, STB akan terus berusaha meneroka peluang pasaran baharu.
“Kita sentiasa berbincang dengan rakan syarikat penerbangan terutama AirAsia untuk menjadikan Sabah sebagai hab pelancongan utama di Borneo.
Kita mahu meneroka pasaran baharu seperti Vietnam, India, Asia dan Asia Tengah selain merancang untuk memulakan penerbangan terus dari Australia.
“Dengan pembangunan Nusantara (Indonesia) yang sedang berlangsung, kita perlu membina portfolio hab yang kukuh dan menguasai setiap pasaran yang akan membawa kepada laluan antarabangsa yang menarik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Laluan Kunming-Kota Kinabalu akan beroperasi tiga kali seminggu bagi melengkapkan penerbangan terus AirAsia lain seperti dari Hong Kong, Guangzhou, Hangzhou, Shenzhen, Wuhan, Shanghai, Beijing, dan Ningbo.
Selain itu, Xiamen Air pula mengendalikan laluan Fuzhou-Kota Kinabalu.
AirAsia juga sedang berusaha untuk menghubungkan Sabah dengan lebih banyak bandar utama termasuk Shantou (China) dan Kaohsiung (Taiwan) yang akan dilancarkan pada November ini serta turut mempromosikan laluan baharu dari Ho Chi Minh City (Vietnam) ke Kota Kinabalu dijangka bermula Disember.
Laluan antarabangsa lain melibatkan AirAsia termasuk ke destinasi utama Asia Tenggara seperti Singapura, Manila (Filipina), Jakarta, Bali, dan Manado (Indonesia) serta Taipei (Taiwan) dan Seoul (Korea Selatan).
Syarikat penerbangan lain yang menawarkan penerbangan terus ke Sabah ialah Air Busan (Busan-Kota Kinabalu), Scoot (Singapore-Kota Kinabalu), Shanghai Airlines (Shanghai-Kota Kinabalu), China Southern (Guangzhou-Kota Kinabalu) dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (Bandar Seri Begawan-Kota Kinabalu). – Bernama