KOTA KINABALU, 5 MEI – Kerajaan negeri akan meminta laporan daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi membina sebuah loji rawatan air (LRA) di Pulau Banggi, Kudat terutama melibatkan kos yang diperlukan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata kerajaan Sabah komited untuk menyelesaikan masalah air yang dihadapi oleh penduduk menerusi pembinaan sebuah LRA baharu khusus untuk pulau itu.
Menurut Hajiji, kerajaan negeri sentiasa mendengar keluh-kesah daripada penduduk berkaitan masalah bekalan air dihadapi mereka dan sedang mencari jalan terbaik bagi mengatasi masalah berkenaan.
“Saya mahu dapatkan laporan daripada JANS berapa kos untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, termasuk bekalan air dan keperluan asas lain,” katanya dalam kenyataan selepas melawat pulau itu hari ini.
Hajiji berkata selain masalah di Pulau Banggi, beliau turut memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi penduduk di Tanjung Kapor dan kawasan lain di seluruh negeri ini. – Bernama
