KOTA KINABALU, 14 APRIL – Kerajaan Sabah meluluskan peruntukan khas berjumlah RM285 juta pada awal tahun ini untuk pelaksanaan kerja menaik taraf empat jalan utama di negeri ini, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya berkata kerja-kerja berkenaan di Jalan Nangoh Paitan Kanibongan, Jalan Kanibongan, Jalan Langkon-Pitas dan Jalan Sapulut Kalabakan itu menggunakan kaedah cold in-place pavement recycling (CIPR) yang bermula awal Mac dan dijangka siap penghujung Ogos tahun depan.
“Peruntukan khas itu dibuat apabila keba-nyakan jalan raya di Sabah telah melepasi hayat reka bentuk dan tidak sesuai untuk sekadar penyelenggaraan rutin sebaliknya perlu dinaik taraf secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) yang bertanya mengenai pengendalian, penyenggaraan jalan raya dan jambatan, serta syarikat dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja berkenaan dan sejauh mana kemajuan kerja dilaksanakan.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata caruman kerajaan negeri pada tahun ini berjumlah RM450 juta dan pemberian peruntukan penyenggaraan jalan negeri oleh Kerajaan Persekutuan pula sebanyak RM675 juta.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) telah melantik sebuah syarikat konsesi untuk menyenggara jalan Persekutuan seluruh Sabah untuk tempoh konsesi selama 15 tahun berakhir 31 Ogos 2018 dan syarikat berkenaan dilantik semula untuk tempoh lanjutan 10 tahun sehingga 31 Ogos 2028. – Bernama
