KOTA KINABALU, 31 OGOS – Bagai menghitung hari, rakyat Sabah semakin teruja untuk beramah mesra dan bertemu pasangan diraja yang terkenal dengan sikap rendah hati dan mesra rakyat bersempena dengan Kembara Kenali Borneo.
Penduduk Negeri di Bawah Bayu itu juga tidak sabar untuk menghadiri setiap program dan sesi ramah mesra bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di lapan daerah yang dijadual bermula di Tawau pada 3 September ini dan berakhir di Sipitang pada 7 September.
Ketua Kampung Pulau Bait, Semporna Abdul Mumin Ramit berkata beliau bersama penduduk kampung akan ke Tawau untuk menghadiri acara pelepasan kembara itu dan tidak mahu melepaskan peluang menyertai pelbagai acara serta beramah mesra dengan Seri Paduka Baginda berdua.
Abdul Mumin, 57, berkata walaupun jarak Semporna dan Tawau lebih 100 kilometer dalam perjalanan hampir dua jam, itu bukan alasan untuk beliau bersama penduduk kampung menunjukkan rasa terima kasih atas keprihatinan Seri Paduka berdua bertemu serta melihat sendiri rakyat dan negeri Sabah.
“Walaupun Kembara Kenali Boneo ini tidak lalu Semporna, kita akan cuba datang ke Tawau untuk berjumpa sendiri dengan Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri kerana baginda berdua ini payung kepada rakyat.
“Suatu hari nanti saya dan penduduk kampung harap Seri Paduka berdua dapat berangkat ke pulau-pulau di Semporna, kampung dan pulau kami iaitu Kampung Pulau Bait yang sedia untuk menyambut Seri Paduka Baginda berdua di sini,” katanya kepada Bernama.
Kembara Kenali Borneo memberi peluang kepada rakyat Sabah beramah mesra dengan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang mengunjungi daerah Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau, Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang sebelum diteruskan ke Sarawak bermula 9 hingga 13 September. – Bernama