Sunday, May 5, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    Sabah perlu pembenihan awan segera

    PAPAR, 2 JUN – Isu bekalan air di Sabah yang dilihat kritikal memerlukan proses pembenihan awan dilaksanakan dengan segera bagi meningkatkan paras air sungai yang menjadi sumber air mentah utama bagi pengoperasian berkesan Loji Rawatan Air (LRA) di negeri tersebut.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kerajaan Sabah boleh membuat permohonan untuk proses itu kepada kerajaan Persekutuan dalam usaha menangani bekalan air yang semakin berkurangan di Sabah.

    Beliau berkata sekiranya pasukan teknikal di peringkat negeri Sabah sudah mengenal pasti keperluan berkaitan pembenihan awan bagi membolehkan hujan di kawasan diperlukan, pihak kerajaan negeri boleh mengemukakan permohonan proses itu kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

    “Saya tidak mahu berselindung, memang tahap bekalan air di Sabah sudah mencapai tahap kritikal dan fenomena monsun barat daya kali ini akan menjadikan status itu (bekalan air) menjadi jauh lebih kritikal lagi.

    “Namun saya melihat memang keadaannya agak serius dan sekiranya tidak dilakukan (pembenihan awan) akan lebih banyak lagi LRA yang terkesan,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan lawatan ke LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau, di sini, hari ini.

    Armizan,yang juga Ahli Parlimen Papar, berkata ketika ini LRA EWSS itu juga turut terjejas apabila paras air su-ngai Papar menurun menyebabkan loji yang mampu menyalurkan bekalan air bersih 10 juta liter sehari (JLH) itu tidak dapat beroperasi sejak seminggu lalu menyebabkan lebih 19,000 penduduk daripada 33 buah kampung di Papar terputus bekalan air.

    Beliau berkata sebagai tindakan segera, proses penghantaran bekalan air bersih telah dijalankan dengan menggunakan lori tangki air di kawasan awam seperti masjid dan balai raya untuk penduduk kampung yang terjejas. – Bernama

    Gambar fail Bernama menunjukkan penduduk Labuan mengisi botol dengan air dari lori tangki air. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali kelmarin berkata isu bekalan air di Sabah yang dilihat kritikal memerlukan proses pembenihan awan dilaksanakan dengan segera.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...