KOTA KINABALU, 10 Feb – Kerajaan negeri Sabah perlu menubuhkan agensi khas seperti Biro Konvensyen bagi Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dalam mengendalikan pemasaran dan pembidaan untuk memanfaatkan pasaran Mesyuarat, insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE).
Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malay-sia (MATTA) Datuk Tan Kok Liang dalam satu kenyataan hari ini berkata MATTA bimbang bahawa SICC akan menjadi satu lagi projek ‘gajah putih’ sekiranya konvensyen itu tidak diuruskan dengan baik.
“Adalah mustahak dan penting bagi kerajaan untuk menubuhkan satu agensi khas, seperti Biro Konvensyen yang seeloknya berada terus di bawah bidang kuasa Jabatan Ketua Menteri atau Kementerian Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Sabah, dalam memanfaatkan pasaran MICE.
“Jika tidak, tanpa pengurusan yang betul, kami bimbang SICC akan menjadi projek ‘gajah putih’ sekiranya sebuah agensi khas tidak ditubuhkan untuk memulakan pemasaran dan pembidaan bagi segmen dalam pasaran menguntungkan ini. – Bernama