Sabah perluas kawasan perlindungan marin

KOTA KINABALU, 17 OKT – Kementerian Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Sabah merancang untuk memperluas Kawasan Perlindungan Marin (MPA) sebanyak 13 peratus iaitu bersamaan dengan 2.031 juta hektar menjelang tahun 2025.

Setiausaha Tetap kementerian itu Datuk William Baya berkata pada masa ini MPA di Sabah hanya meliputi 7.2 peratus daripada keseluruhan kawasan. “Kerajaan juga merancang untuk menambah dua lagi MPA pada 2030, masing-masing satu di pantai barat dan pantai timur Sabah,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal dan Pertukaran Serantau MPA ke-8 di sini malam tadi. William berkata Taman Tun Mustapha, Kudat yang diwartakan pada 2016 merupakan kawasan perlindungan marin terbesar di Malaysia dengan lebih 890,000 hektar. – Bernama