SABAH/SARAWAK, 1 NOV – Beberapa lokasi di Sarawak dan Sabah hari ini dilanda banjir akibat hujan yang berterusan sejak malam semalam sehingga pagi tadi.
Di Sabah, tiga daerah iaitu Tenom, Keningau dan Sipitang dilanda banjir, selepas Kunak dan Penampang, sekali gus menyebabkan mangsa banjir meningkat mendadak kepada 724 mangsa daripada 201 keluarga, berbanding 75 orang daripada 14 keluarga pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan tujuh lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka petang ini iaitu tiga di Tenom, Keningau (2) serta dua di Sipitang.
Sementara itu, di Sarawak, Lapangan Terbang Lawas yang terletak kira-kira 1,042km ke utara dari sini, ditutup sementara bermula hari ini susulan banjir kilat semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datuk Khirudin Drahman berkata penutupan itu dijangka selama tiga hari bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan landasan yang berlumpur akibat banjir berkenaan. – Bernama