Sunday, February 9, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sabah, Sarawak nikmati lebih 50% peruntukan bajet 2018

    PUTRAJAYA, 3 Nov – Lebih daripada separuh atau 52.50 peratus daripada RM3.689 bilion jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan yang telah diberikan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dalam Bajet 2018 akan dinikmati oleh penduduk yang berada di luar bandar di Sabah dan Sarawak.

    Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dengan anggaran peruntukan pembangunan tersebut untuk Sabah dan Sarawak, masing-masing sebanyak RM927.635 juta (23.98 peratus) dan RM1.103 bilion (28.52 peratus), bakinya pula adalah untuk bajet pembangunan 11 negeri di Semenanjung.

    “Jadi ini bermakna secara purata tidak sampai lima peratus bajet pembangunan telah diberikan kepada setiap negeri di Semenanjung, sekali gus ini juga telah menafikan dakwaaan pembangkang yang menyatakan bahawa kerajaan tidak memberi perhatian kepada pembangunan di Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media khas Bajet 2018 di sini hari ini.

    Jelasnya hampir RM500 juta daripada RM934 juta keseluruhan peruntukan untuk projek jalan luar bandar diberikan kepada Sabah dan Sarawak; dan kedua-dua negeri itu juga menerima RM620 juta peruntukan dalam perutukan bekalan elektrik luar bandar serta RM420 juta diperuntukkan untuk bekalan air luar bandar.

    “Ada di antaranya adalah untuk projek sambung iaitu sebanyak 472 projek dan 178 adalah projek yang terbaharu,” katanya.

    Ismail Sabri berkata KKLW akan menubuhkan satu jawatankuasa yang dinamakan sebagai ‘task force’ yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KKLW bagi menjalankan pemantauan setiap projek yang dilaksanakan kementerian itu.

    “Jadi berkemungkinan pada setiap dua hingga tiga bulan mereka akan mendapatkan maklum balas daripada pihak tertentu mengenai setiap projek yang dilaksanakan dan kita juga akan libatkan ketua kampung yang mana mereka akan memberikan laporan kepada kementerian mengenai status projek yang dilaksana di kawasan mereka,” katanya.

    Beliau berkata tindakan itu akan memberikan mereka maklumat dan perkembangan terkini dan mengesan lebih awal sekiranya terdapat beberapa masalah yang dihadapi di setiap projek yang dijalankan.

    “Kita akan dapat tahu lebih awal jika sekiranya terdapat projek yang nak sakit…kalau dulu-dulu projek yang sudah sakit baru kita tahu dan baru nak dihantar ke bahagian jawantankuasa ‘projek sakit’, kadang-kadang dah lewat sangat,” katanya.

    Ismail Sabri berkata bahawa peruntukan Bajet bagi tahun 2018, KKLW adalah merupakan kementerian kedua tertinggi menerima bajet pembangunan selepas Jabatan Perdana Menteri iaitu berjumlah RM3.869 bilion sementara bajet untuk mengurus adalah sebanyak RM5.614 bilion.

    Jumlah keseluruhan peruntukan untuk KKLW dalam Bajet 2018 adalah sebanyak RM9.483 bilion, memperlihatkan peningkatan sebanyak 6.66 peratus berbanding daripada RM8.891 bilion pada peruntukan tahun ini.

    “Ini menunjukkan bahawa kerajaan akan terus memberi tumpuan dan perhatian yang tinggi dan secara berterusan kepada seramai 7.8 juta penduduk yang berada di luar bandar atau 26.9 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia untuk menikmati kesejahteraan dalam kehidupan bersama dan juga menikmati pembangunan ekonomi yang bergerak secara berterusan di luar bandar,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda