Sabah, Sarawak perlu tambahan hospital

BAU, SARAWAK, 17 SEPT – Kerajaan Malaysia sedang membuat penilaian terhadap masalah kekurangan fasiliti kesihatan dan pakar perubatan di Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Aaron Ago Dagang hari ini.

Katanya kebanyakan projek-projek persekutuan yang dianggap ‘sakit’ di Sabah dan Sarawak melibatkan pembinaan hospital dan klinik kesihatan yang gagal disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Kerajaan sedang membuat penilaian terhadap masalah ini dan juga berusaha untuk menambah baik fasiliti kesihatan di Sarawak dan Sabah, terutama memastikan pembinaan hospital baharu dan klinik kesihatan segera disiapkan,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja ke Hospital Bau di sini.

Antara projek hospital baharu yang masih belum disiapkan sepenuhnya di Sarawak termasuk Hospital Petra Jaya, Hospital Sri Aman, Hospital Lawas dan Hospital Miri. 

Beliau berkata kedua-dua negeri ini memerlukan tambahan hospital dan klinik kesihatan memandangkan pertambahan penduduk serta banyak hospital dan klinik kesihatan yang ada tidak lagi dapat menampung jumlah pesakit yang bertambah.

Mengenai kekurangan pegawai perubatan dan pakar perubatan, Aaron berkata kerajaan telahpun melantik pegawai perubatan secara kontrak bagi mengatasi masalah berkenaan dan antara faktor penyebab masalah kekurangan pakar perubatan bagi Sabah dan Sarawak kerana mereka berhijrah ke luar negara.

Katanya, berdasarkan nisbah populasi, Sarawak memerlukan seramai 1,800 pakar perubatan dalam pelbagai bidang di hospital kerajaan tetapi ketika ini hanya 532 orang sahaja yang ditempatkan di negeri itu.

“Sekarang ada cadangan untuk membawa masuk pakar secara kontrak dari luar negara tetapi perkara ini masih di peringkat perbincangan memandangkan kos gaji yang tinggi,” katanya. – Bernama