KOTA KINABALU, 15 JAN – Kerajaan Sabah meningkatkan sasaran kehadiran pelancong pada tahun ini kepada 3 juta orang berbanding 2.8 juta sebelum ini berikutan perkembangan industri pelancongan negeri itu yang memberangsangkan terutamanya tahun lepas.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew berkata peningkatan industri pelancongan Sabah dapat dilihat apabila negeri itu mencatat pulangan kira-kira RM4.6 bilion menerusi kedatangan lebih kurang 2.5 juta pelancong sepanjang 2023.
“Sehubungan itu, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) perlu bekerja keras untuk memastikan sasaran berkenaan dapat dicapai.
“Saya telah mendengar perancangan mereka minggu lepas dan saya percaya sasaran itu dapat dicapai,” katanya kepada pemberita semasa sidang media Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 Kerajaan Sabah di sini hari ini.
Semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada November lepas, Liew dilaporkan berkata negeri itu menyasarkan kedatangan 2.8 juta pelancong tahun ini yang dijangka dapat menjana pendapatan sebanyak RM5.6 bilion. – Bernama


