Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sabah sasar turunkan kadar miskin tegar hingga 80 peratus

    TUARAN, 25 JAN – Kerajaan Sabah menyasarkan untuk menurunkan sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus kadar miskin tegar yang direkodkan di negeri itu menjelang penghujung tahun ini, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

    Beliau berkata sebanyak 22,510 ketua isi rumah (KIR) dikategorikan sebagai miskin tegar dalam senarai sistem e-Kasih negeri itu setakat ini.

    Menurutnya Sabah optimis sasaran itu mampu dicapai menerusi beberapa inisiatif diperkenalkan termasuk memberi bantuan modal perniagaan dan menyediakan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mampu milik kepada golongan terlibat.

    “Selain itu, kira akan beri peluang pekerjaan kepada anak-anak miskin tegar. Nama miskin tegar ini telah diselaraskan oleh Sekretariat SMJ dan kita akan hantar nama ini kepada agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan kilang-kilang supaya mereka diberi peluang pekerjaan,” katanya.

    Hajiji berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan surat penyertaan agensi pemberi bantuan bagi program rintis menoktahkan kadar miskin tegar di Tuaran dan pelantikan pekerja inisiatif MySMJ Kerja, hari ini.

    Selain menyalurkan bantuan tunai kepada golongan sasar, Hajiji berkata kerajaan Sabah melihat usaha menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak miskin tegar sebagai antara kaedah holistik membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.

    “Kita bagi keutamaan (peluang pekerjaan) kepada anak-anak miskin tegar supaya mereka diambil bekerja dalam agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan dan pelabur yang datang ke Sabah. Menjadi satu kewajipan kepada mereka untuk mengambil bekerja anak-anak miskin tegar daripada senarai e-Kasih,” katanya.

    Sementara itu, Sekretariat SMJ dalam kenyataannya memaklumkan Sabah merekodkan sebanyak 101,113 ahli isi rumah miskin tegar dalam sistem e-Kasih. – Bernama

    Datuk Seri Hajiji Noor pada sesi taklimat dalam lawatan kerja rasmi di Asian Supply Base sdn bhd (ASB) pada 8 Disember 2023. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda