Sunday, May 11, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sabah sedia bekerjasama dengan Batik Air buka laluan penerbangan ke Indonesia

    KOTA KINABALU, 4 OGOS – Kerajaan Sabah bersedia bekerjasama dengan syarikat penerbangan Batik Air untuk membuka laluan penerbangan ke Indonesia dalam usaha membangunkan negeri itu sebagai destinasi pelancongan kesihatan.

    Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Jafry Ariffin berkata antara laluan penerbangan itu adalah Pontianak dan Balikpapan di Kalimantan.

    Beliau berharap laluan penerbangan itu akan dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat kerana laluan penerbangan juga merupakan antara faktor penting untuk menarik pengunjung dari negara jiran datang ke Sabah.

    “Ini masa yang tepat untuk Sabah menyasarkan destinasi pelancongan kesihatan dengan mempromosikan kemudahan terkini yang ditawarkan hospital khususnya kepada pasaran Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Semalam, Jafry mengadakan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Kapten Mushafiz Mustafa Bakri, Pengurus Besar Muhammad Ariff Abdul Aziz serta beberapa kakitangan syarikat penerbangan itu di Kuala Lumpur.

    Beliau berkata menerusi rantaian nilai dan industri pelancongan kesihatan pastinya akan membuka peluang kepada pelancong untuk menerokai lokasi pelancongan berkonsepkan ‘nature healing’ yang ada di Sabah. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda