Thursday, March 13, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sabah sedia terap teknologi hijau sepenuhnya

    KOTA KINABALU, 9 JAN – Sabah bakal menerima pakai sepenuhnya revolusi teknologi hijau dengan projek keluli hijau bernilai RM20 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

    Hajiji berkata negeri itu mengalu-alukan pelaburan dalam produk yang memanfaatkan tenaga boleh baharu, penambahbaikkan pengurusan sisa dan menggalakkan penyelesaian yang mampan.

    “Melabur dalam produk berasaskan teknologi hijau bukan sahaja sejajar dengan matlamat kemampanan global tetapi juga memanfaatkan pasaran yang berkembang pesat untuk penyelesaian mesra alam,” katanya dalam satu kenyataan sempena majlis pertukaran perjanjian induk di Menara Kinabalu, hari ini.

    Perjanjian induk itu melibatkan pembekal dan pengedar gas asli milik kerajaan, Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) dan Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (Esteel Sabah) bagi pembekalan 150 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) gas asli.

    Pada majlis itu SEC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adzmir Abd Rahman, manakala Esteel Sabah diwakili Pengarah Urusan, Xu Yihang.

    Menerusi perjanjian itu, SEC akan membekalkan 100 juta mmscfd gas asli kepada kilang pembuatan keluli Esteel Sabah dan tambahan 50 mmscfd untuk penjanaan kuasa loji itu dalam tempoh 20 tahun akan datang.

    Hajiji mengulangi perkara yang dibangkitkannya pada Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China (GCET) di Shenzen, China, pada November lepas bahawa Sabah telah mengenal pasti beberapa industri utama yang bukan sahaja menjanjikan pulangan yang besar ke atas pelaburan tetapi juga menyumbang kepada masa hadapan yang lebih mampan dan makmur.

    “Ini menandakan keyakinan Sabah terhadap projek keluli hijau, yang juga adalah antara pelaburan yang mewakili asas pertumbuhan ekonomi dan strategi pembangunan negeri,” katanya. – Bernama

    Datuk Seri Hajiji Noor pada sesi taklimat dalam lawatan kerja rasmi di Asian Supply Base sdn bhd (ASB) pada 8 Disember. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda