Thursday, May 8, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sabah sentiasa dilindungi

    KOTA BELUD, 11 Mac – Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan sesekali membenarkan bumi Sabah diceroboh dan diganggu gugat oleh sesiapa sahaja, kata Menteri Pertahanan Datuk seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Beliau berkata kerajaan memberi jaminan akan terus mempertahankan Sabah dan ia adalah komitmen besar kerajaan persekutuan kepada negeri ini.

    “Kerajaan tidak akan membenarkan walau seinci pun tanah di Sabah ini diceroboh, selagi saya diberi amanah sebagai Menteri Pertahanan, Saya bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan pastikan keselamatan dan keamanan Sabah terus terpelihara.

    “Sebab itu pengalaman yang kita lalui semasa insiden pencerobohan di Lahad Datu merupakan sandaran untuk terus mempertingkatkan tahap keselamatan di Sabah,” katanya.

    Beliau berkata pada sidang media selepas menyaksikan Demonstrasi Keupayaan ATM di Lapangan Udara di sini hari ini.

    Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bersama Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bertemu penduduk kampung yang turut hadir menyaksikan Demonstrasi Keupayaan Angkatan Tentera Malaysia di Kem Paradise Kota Belud di Kampung Tambulion kelmarin. – Bernama

    Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohammed Noor.

    Hishammuddin berkata kerajaan persekutuan mempunyai perancangan khusus untuk mempertingkatkan tahap keselamatan di Sabah.

    “Kementerian Pertahanan seperti yang dijanjikan dalam Manifesto BN pada pilihan raya umum ke-13 telah pun bekerjasama dengan agensi lain untuk memperkukuhkan kesalamatan di Sabah khususnya di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), apa perancangan yang telah dijanjikan oleh pihak pembangkang? mereka hanya timbul bila musim pilihan raya,” katanya.

    Katanya, apa yang kerajaan telah janjikan adalah realistik dan bukan retorik semata-mata.

    “Oleh itu jangan terpangaruh dengan tuduhan pihak tertentu yang mengatakan kononnya kerajaan mengabaikan keselamatan Sabah. Dalam soal keselamatan kita tidak pernah kompromi,” tegasnya.

    Beliau berkata pelbagai usaha telah kerajaan lakukan untuk memperkukuhkan tahap keselamatan di Sabah sejak berlakunya pencerobohan di Lahad Datu beberapa tahun lepas. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda