Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sabah tambah kawasan tanaman padi 30,000 hektar

    KOTA KINABALU, 27 NOV – Kerajaan Sabah berusaha menambah kawasan penanaman padi daripada 24,000 kepada 30,000 hektar, sekali gus meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) padi daripada 22.08 kepada 30 peratus, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

    Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata perkara itu merupakan salah satu daripada langkah penting, dalam usaha meningkatkan pengeluaran makanan dan memastikan bekalan makanan untuk rakyat mencukupi.

    “Dengan pewujudan Lembaga Padi Sabah juga, kerajaan negeri akan dapat mengurus pembangunan tanaman padi dan beras,” katanya ketika menjawab soalan lisan Dr Daud Yusof (Warisan-Bongawan) yang bertanya tentang usaha kerajaan meningkatkan bekalan makanan di negeri itu.

    Jeffrey berkata melalui Jabatan Perkhidmatan Veteriner (DVS), kementerian juga telah menyusun beberapa strategi antaranya memperluaskan penternakan lembu secara fidlot, dengan membangunkan ladang mega ternakan lembu.

    Beliau berkata DVS bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Balung, Tawau itu dijangka akan meningkatkan populasi ternakan lembu pedaging daripada 53,000 tahun ini kepada 155,000 ekor pada 2030.

    Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata jumlah ketibaan pelancong ke Sabah dianggarkan naik 15 hingga 25 peratus pada tahun depan berbanding jumlah anggaran ketibaan pelancong pada tahun ini. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda