Sabah terbuka adakan perbincangan dengan penggiat O&G

KOTA KINABALU, 11 JULAI – Kerajaan Sabah terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan peserta industri minyak dan gas (O&G) bagi memastikan mereka dapat memajukan sektor itu ke tahap kejayaan lebih tinggi selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri mahu perkongsian yang kukuh serta kerjasama strategik bagi memacu industri yang menguntungkan ini ke arah kejayaan.

“Bagi mendapat manfaat yang meluas dalam sektor ini, kita harus menangani cabaran yang sinonim dengan Sabah,” katanya pada pelancaran Persidangan dan Pameran Minyak dan Gas Sabah (SOGCE), di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri meminda Ordinan Perlombongan 1960 kepada Enakmen Perlombongan (Pindaan) 2018 pada Disember tahun lepas su-paya pendapatan sumber asli seperti minyak dan gas di Sabah dapat diuruskan dengan lebih baik.

Menurut Mohd Shafie pindaan tersebut turut membolehkan Sabah mengutip cukai jualan sumber asli daripada perairan, selain hasil produk petroleum.

Jelasnya, langkah itu akan memajukan lagi sektor O&G di Sabah.

Ketua Menteri itu berkata berdasarkan Jurnal O&G, Malaysia mempunyai rizab sebanyak 3.6 bilion tong sehingga Januari 2017, iaitu rizab keempat tertinggi di Asia Pasifik.

Beliau berkata dengan deposit minyak dan gas yang utama, Sabah telah menjadi pemain utama industri O&G di Malaysia.- Bernama

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (dua, kiri) mendengar penerangan mengenai peralatan yang digunakan dalam operasi minyak dan gas ketika melawat pameran syarikat-syarikat minyak dan gas selepas melancarkan Persidangan dan Pameran Minyak dan Gas Sabah, kelmarin. – Bernama

SAHAM
TerdahuluDua suspek judi ditahan
SeterusnyaTarikh luput