Sabah terima RM20 juta hasil cukai pelancongan

KUCHING, 6 SEPT – Sabah menerima lebih RM20 juta hasil cukai pelancongan kerajaan pusat bagi 2019, iaitu yang tertinggi dalam kalangan semua negeri, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi 50 peratus daripada kutipan keseluruhan cukai pelancongan kerajaan pusat.

Bayaran kepada semua negeri telah dibuat termasuk Sarawak yang menerima lebih RM5 juta, katanya.

“Tahun ini, kementerian memperuntukkan RM100 juta untuk pelaksanaan pelbagai projek pelancongan di Sarawak selain meluluskan peruntukan untuk negeri-negeri lain dalam usaha meningkatkan pelancongan domestik selepas sektor pelancongan negara terjejas teruk oleh pandemik COVID-19,” katanya kepada pemberita pada Program Lan Berambeh di Kampung Batu Kitang, dekat sini hari ini.

Beliau berkata lebih banyak peruntukan akan dipohon daripada kerajaan pusat di bawah rolling plan seterusnya bagi pelaksanaan program pemulihan pelancongan domestik di seluruh negara. – Bernama