KOTA KINABALU, 30 DIS – Sabah pada masa ini tidak mempunyai fasiliti pengasingan untuk gajah dapat bergerak bebas, kata Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga.
Beliau berkata pada masa ini juga terlalu banyak gajah berada dalam kurungan dan fasiliti sedia ada tidak mampu menampung kebebasan haiwan itu bergerak dalam kawasan yang mencukupi keluasannya.
“Kita akan ikhtiarkan untuk gajah ini mempunyai kebebasan bergerak dengan menempatkan haiwan ini di fasiliti yang ada kemudahan sedemikian. Sabah tidak memiliki kemudahan sedemikian kecuali kerajaan dapat beri peruntukan mencukupi untuk sediakan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kematian seorang petugas Taman Hidupan Liar Lok Kawi di sini Ahad lepas akibat diserang seekor gajah dewasa ketika memberi rawatan kepada anak gajah yang cedera. – Bernama