KOTA KINABALU, 7 JULAI – Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah akan meningkatkan produktiviti tanaman padi di enam daerah utama di negeri itu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.
Pembantu Menterinya, Hendrus Anding berkata daerah tersebut melibatkan Kota Belud, Kota Marudu, Tuaran, Tambunan, Keningau dan Papar, dengan kawasan sawah seluas 121.4 hektar di Tambunan telah dikenal pasti oleh Lembaga Pertanian Sabah (LPBS) sebagai projek perintis pertanian padi berhasil tinggi secara moden.
“Projek perintis ini akan menggunakan automasi dan mekanisasi sepenuhnya serta pengurusan air berjadual. Kementerian melalui Jabatan Pertanian melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti hasil pertanian seperti buah-buahan, kopi dan padi di negeri ini.
“Program Skim Pengeluaran Padi Bermutu turut dilaksanakan melalui pembangunan ladang satelit pengeluaran benih, khususnya variasi TR8 yang disokong oleh tiga pusat pengeluaran benih padi di Papar, Tenom dan Kota Belud,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Datuk Rubin Balang (GRS-Kemabong) yang bertanya tentang usaha kementerian itu dalam meningkatkan hasil tanaman terutama buah-buahan, kopi dan padi di Sabah.
Hendrus berkata kementerian itu juga melaksanakan projek pemulihan tanah sawah terbiar seluas 7,392 hektar secara berperingkat, dengan 437.57 hektar telah berjaya dipulihkan pada tahun lepas.
“Kempen Penanaman Dua Musim Setahun turut dilaksanakan di kawasan sawah terpilih menggunakan paket teknologi Rice Check dan Sistem Pengurusan Ladang Berpusat,” katanya. – Bernama
