Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sabah ucap tahniah Sultan Ibrahim sebagai agong ke-17

    KOTA KINABALU, 27 OKT – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mewakili rakyat Sabah merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar kerana dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, hari ini.

    “Rakyat Sabah mengalu-alukan dan mendoakan kesejahteraan baginda,” katanya kepada Bernama menerusi kenyataan hari ini.

    Ketua Menteri itu juga menzahirkan terima kasih rakyat Sabah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah khususnya untuk lawatan Seri Paduka Baginda ke Sabah dalam Kembara Kenali Borneo bulan lepas.

    “Kami di Sabah akan sentiasa mengingati Seri Paduka, Raja Permaisuri Agong (Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) dan keluarga Seri Paduka Baginda Berdua yang tidak sombong dan dekat dengan rakyat. Kami doakan kesihatan yang baik untuk keluarga diraja itu,” kata Hajiji.

    Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa 31 Januari tahun depan.

    Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemilihan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, hari ini.

    Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama. – Bernama

    Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (kanan) mengiringi kekandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar selepas Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang berlangsung di Istana Negara. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda