ROM, 11 MEI – Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan bekas juara Terbuka Australia, Sofia Kenin, 3-6, 6-3, 6-3 di kejohanan Terbuka Itali, hari ini.
Sabalenka kini mara ke pusingan 16 dan dijadualkan bertemu pemain muda Ukraine, Marta Kostyuk, yang sebelum itu menewaskan Leylah Fernandez 6-4, 6-2.
Kejohanan edisi kali ini membuka peluang besar buat Sabalenka untuk meraih gelaran sulung di Rom serta trofi ketiganya dalam siri Masters 1000 musim ini, selepas juara tiga kali, Iga Swiatek tersingkir mengejut oleh Danielle Collins, kelmarin.
Sabalenka, yang muncul juara di Miami dan Madrid sebelum ini, telah mara ke empat perlawanan akhir berturut-turut dan kini menjadi pilihan utama untuk menjuarai kejohanan di Foro Italico.
Walaupun prestasinya dalam perlawanan itu agak tidak konsisten – termasuk beberapa kesilapan dan rungutan terhadap permukaan gelanggang – Sabalenka tetap berjaya memenangi perlawanan selepas bertarung hampir dua jam.

Selepas berjaya meraih mata penamat pada permainan kedua set ketiga, Sabalenka terus memberi tekanan kepada Kenin meskipun servisnya sempat dipatahkan.
Manakala pemain pilihan ketiga lelaki, Carlos Alcaraz, bakal meneruskan misi memburu kejuaraan sulungnya di Rom apabila turun menentang Laslo Djere.
Pemain tuan rumah, Jannik Sinner pula menewaskan Mariano Navone kelmarin dalam penampilan pertamanya sejak tamat penggantungan doping selama tiga bulan dan berpotensi bertemu Alcaraz di final.
Manakala pemain muda Perancis, Arthur Fils mencatat kejutan apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan bekas finalis Stefanos Tsitsipas 2-6, 6-4, 6-2 dalam perlawanan di Grand Stand Arena. Dia juga bakal berdepan juara bertahan, Alexander Zverev, yang akan menentang Vilius Gaubas dari Lithuania.
Daniil Medvedev juga mara selepas mengatasi Alexei Popyrin 6-4, 6-1 dan bakal bertemu pemenang antara Lorenzo Musetti dan Brandon Nakashima. – AFP