Tuesday, October 15, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sabalenka cipta sejarah di Wuhan

    WUHAN, 14 OKT – Aryna Sabalenka mencipta sejarah dengan menjadi pemain pertama memenangi Wuhan Terbuka sebanyak tiga kali selepas menundukkan bintang tuan rumah, Zheng Qinwen, 6-3, 5-7, 6-3, dalam perlawanan akhir, semalam.

    Pemain pilihan utama, yang juga juara kejohanan ini pada 2018 dan 2019, mengekalkan rekod tanpa kalah di Wuhan, dengan rekod sempurna 17-0.

    Sabalenka diuji oleh Qinwen yang bersemangat dalam perlawanan ulangan final Terbuka Australia 2024 sebelum dia meraih gelaran kelima yang juga rekod era Terbuka di negara China.

    Dengan dua gelaran Grand Slam dan kejayaan di WTA 1000 Cincinnati dalam musim 2024, ia merupakan trofi keempat Sabalenka daripada tujuh perlawanan akhir yang dicapainya tahun ini.

    Pemain berusia 26 tahun itu memantapkan peluangnya untuk mengakhiri tahun sebagai pemain nombor satu dunia di hadapan Iga Swiatek, satu pertarungan yang mungkin akan ditentukan hingga ke saat akhir di WTA Final di Riyadh bulan depan.

    Aksi Sabalenka semasa perlawanan akhir kejohanan tenis Terbuka Wuhan di Wuhan, baru-baru ini. – AFP

    “Itu adalah ranking yang amat sengit sekarang. Amat seronok untuk dilihat,” kata Aryna, yang ketinggalan kurang 100 mata di belakang Iga dalam ranking dunia.

    “Kita akan lihat selepas WTA Final jika saya cukup baik musim ini untuk menjadi nombor satu dunia,” tambahnya.

    Zheng, pemenang pingat emas Olimpik, sebelum ini tidak pernah memenangi sebarang set dalam tiga pertemuan terakhir menentang Sabalenka di pentas Grand Slam sepanjang 13 bulan lalu.

    Namun, beraksi di hadapan lebih 13,000 penyokong di kampung halamannya, Zheng memberikan cabaran sengit pada perlawanan kali ini.

    Sabalenka mula menguasai permainan dengan mematahkan servis Zheng pada kedudukan 4-2, berpunca daripada kesilapan pemain China itu. Sabalenka kemudian menutup set pembukaan dalam masa 38 minit dengan servis cemerlang, hanya kehilangan lima mata sepanjang perlawanan. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda