BRISBANE, 26 DIS – Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka, berkata dia berasa ‘segar dan sedia untuk bertanding’ dalam usaha meraih gelaran Terbuka Australia ketiga berturut-turut, sambil memberi amaran bahawa dia masih mempunyai banyak ruang untuk memperbaiki prestasinya.
Pemain berusia 26 tahun itu menikmati tahun 2024 yang luar biasa, mencapai tujuh perlawanan akhir dan memenangi empat gelaran, termasuk Terbuka Amerika Syarikat (AS). Ia bermula dengan kejayaan mempertahankan gelaran Terbuka Australia, mengalahkan Zheng Qinwen dari China di final.
Jika dia memenangi gelaran itu sekali lagi, Aryna akan menjadi wanita pertama yang meraih tiga gelaran berturut-turut di Melbourne Park sejak Martina Hingis pada 1997-1999.
“Saya rasa segar dan sedia untuk bertanding,” kata pemain Belarus itu di laman sesawang WTA hari ini, selepas tiba untuk kejohanan Brisbane Antarabangsa yang bermula pada Ahad sebelum Terbuka Australia pada 12 Januari.
“Saya suka Australia dan saya selalu datang ke sini dengan semangat yang tinggi dan sudah bersedia.
“Saya rasa mendapat sokongan penuh di sini, dan saya fikir itulah perkara terbaik tentang Australia, di mana orang ramai benar-benar meminati tenis.”
Sabalenka juga memulakan tahun 2024 di Brisbane, mara ke final tanpa kalah sebarang set, tetapi tewas kepada Elena Rybakina dari Kazakhstan dalam perlawanan penentuan.
Dia meluangkan masa di luar musim di rumahnya di Florida sebelum berlatih di Timur Tengah untuk persiapan ke Australia dan akan menggunakan kejohanan Brisbane sebagai persiapan terakhir menghadapi Grand Slam pertama. – AFP