MIAMI GARDENS, 30 MAC – Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka mempamerkan kehebatannya dengan menjuarai Terbuka Miami semalam, selepas menewaskan wakil tuan rumah, Jessica Pegula, 7-5, 6-2 dalam perlawanan akhir WTA 1000 di Stadium Hard Rock.
Kejayaan ini merupakan gelaran pertamanya di Miami dan yang kedua musim ini selepas memenangi kejohanan di Brisbane pada Januari lalu.
Selepas tewas di final Indian Wells kepada remaja Rusia berusia 17 tahun, Mirra Andreeva pada awal bulan ini, Sabalenka bertekad tidak mengalami nasib yang sama.
“Saya sangat gembira memenangi trofi ini. Saya berjaya bermain tenis terbaik saya di final,” kata Sabalenka yang turut memuji prestasi Pegula selepas mengulangi kemenangan ke atasnya seperti di final Terbuka AS tahun lalu.
Set pertama menyaksikan kedua-dua pemain bergelut untuk mengekalkan servis mereka dengan tujuh pematah seri. Pegula cuba memberikan tekanan kepada Sabalenka dengan memaksa lawannya bermain di jaring, tetapi juara dari Belarus itu berjaya mengubah rentak permainan pada saat genting.

Ketika Pegula berusaha untuk melanjutkan set pertama pada kedudukan 6-5, Sabalenka mempamerkan pukulan sangga depan yang cemerlang serta pukulan di garisan untuk memenangi set tersebut.
Memasuki set kedua, Pegula sempat mematahkan servis Sabalenka dalam permainan pertama, tetapi juara bertahan Terbuka Australia itu tidak mengambil masa lama untuk bangkit.
Sabalenka merampas dua mata penamat untuk mendahului 3-1 dan seterusnya memastikan kemenangan dalam tempoh satu jam 27 minit.
“Saya berjaya melupakan segala tekanan bermain di final dan hanya fokus sepenuhnya pada permainan,” katanya.
Dengan kemenangan ini, Sabalenka kini mencatat 12 kemenangan daripada 14 perlawanan terakhirnya menentang pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia.
“Semuanya tentang detik-detik penting dalam perlawanan – bermain secara agresif, mengikuti perancangan permainan dan berani mengambil risiko tanpa takut kehilangan mata,” katanya.
“Saya gembira dapat berada di final 1000 dan mengekalkan konsistensi untuk mara jauh dalam kejohanan. Inilah sebab kita bermain – untuk meletakkan diri dalam posisi terbaik untuk menang,” kata Pegula.
Pada usia 26 tahun, Sabalenka kini telah memenangi lapan gelaran WTA 1000 dan mengumpul 19 kejuaraan dalam Jelajah WTA – 17 daripadanya di atas gelanggang keras, termasuk tiga gelaran Grand Slam Terbuka Australia 2023, Terbuka Australia 2024 dan Terbuka AS 2024. – AFP