Friday, November 15, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sabalenka mara ke final Terbuka Cincinnati

    CINCINNATI, 19 OGOS – Aryna Sabalenka mensia-siakan sembilan mata perlawanan tetapi menewaskan pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek 6-3, 6-3, sekali gus mara ke final pertamanya di Terbuka WTA Cincinnati kelmarin.

    Sabalenka, yang telah melangkah ke separuh akhir Terbuka Cincinnati sebanyak empat kali akan naik ke tangga kedua dalam kedudukan WTA dengan baki seminggu sebelum permulaan Terbuka AS.

    “Saya akhirnya berjaya mengatasi halangan,” kata Sabalenka mengenai tempatnya di final.

    “Ia merupakan pertarungan yang sangat sukar menentang Iga dan kami juga perlu bersabar menghadapi cuaca.”

    Sabalenka akan menentang pilihan keenam AS, Jessica Pegula dalam final hari ini selepas Pegula meraih kemena-ngan 6-2, 3-6, 6-3 ke atas pemain Sepanyol, Paula Badosa.

    Aksi Sabalenka melakukan servis semasa Hari ke-8 Terbuka Cincinnati di Pusat Tenis Keluarga Lindner di Mason, Ohio pada 18 Ogos. – AFP

    Pegula, yang memenangi kejuaraan Toronto minggu lalu, merupakan pemain Amerika ketiga dalam Era Terbuka yang mara ke pusingan akhir Kanada dan Cincinnati pada tahun yang sama selepas Rosie Casals (1970) dan Serena Williams (2013).

    Sabalenka mengalami kesukaran untuk menutup kemenangannya, dengan Swiatek memberikan perlawanan sengit pada peringkat penutup.

    Sabalenka di kedudukan ketiga mendahului 5-1 pada set kedua tetapi Swiatek menunjukkan mengapa dia berada di kedudukan teratas carta WTA apabila dia menyelamatkan mata perlawanan daripada lawannya secara berulang kali.

    “Itu adalah persembahan yang cemerlang daripada saya. Saya sangat gembira dengan kemenangan ini, terutamanya menentang Iga,” kata Sabalenka.

    “Kami sentiasa menghadapi pertarungan yang sukar dan meraih kemenangan dalam straight set, ia merupakan satu pencapaian bagi saya,” tambahnya.

    Perlawanan antara Pegula dan Badosa tertangguh akibat hujan yang berlarutan lebih sejam pada pertengahan set kedua dengan Badosa mendahului 4-3 dan ketinggalan satu set. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda